Selasa, 7 Ogos 2012


Pak Pandir


Pada suatu hari Pak Pandir telah mendengar cerita mengenai sebuah negeri yang kaya raya. Nama negeri tersebut ialah negeri Kelapa Emas. Semua rakyat yang tinggal di negeri tersebut terdiri daripada penduduk yang kaya raya. Hidup mereka sentiasa mewah dan gembira.
Pak Pandir membuat keputusan untuk pergi ke negeri Kelapa Emas. Tujuan Pak Pandir adalah semata-mata untuk turut mencari harta kekayaan yang terdapat di negeri tersebut. Pak Pandir bercadang untuk membawa harta kekayaan itu pulang ke kampungnya.
Pada suatu hari Pak Pandir pun memanggil isterinya. "Mak Andir, aku ada terdengar tentang sebuah negeri yang kaya raya. Aku bercadang untuk mencari harta kekayaan yang ada di negeri tersebut dan membawanya pulang," kata Pak Pandir kepada isterinya. Mak Andir bersetuju dengan hasrat Pak Pandir itu.
Setelah bersiap-siap maka berangkatlah Pak Pandir meninggalkan kampung halamannya. Sebenarnya Mak Andir sangat sedih berpisah dengan suaminya itu. Tetapi mengenangkan hidup mereka yang miskin maka Mak Andir membenarkan pemergian suaminya itu.
Pak Pandir pergi ke negeri Kelapa Emas dengan menaiki sebuah perahu. Di dalam perjalanan Pak Pandir menghadapi berbagai-bagai masalah. Oleh kerana terlalu inginkan kekayaan yang terdapat di negeri Kelapa Emas semuanya itu diharungi jua.
Setelah tujuh hari enam malam ia belayar maka akhirnya sampailah Pak Pandir di negeri Kelapa Emas. Setibanya di situ Pak Pandir berasa amat terkejut dengan pemandangan yang dilihatnya. Pak Pandir mendapati semua pokok kelapa di negeri Kelapa Emas berbuahkan emas.
"Sebab itulah rakyat di negeri ini kaya raya. Rupa-rupanya pokok-pokok kelapa di sini berbuahkan emas," kata Pak Pandir sendirian. Pak Pandir berasa kagum dengan apa yang dilihatnya itu. Dia lalu menyentuh dan membelai pokok-pokok berbuahkan emas itu.
Ketika Pak Pandir terpegun melihatkan pemandangan yang menakjubkan itu Lalulah seorang lelaki tua. Lelaki tua itu memakai jubah panjang berwarna ungu. Ketika terlihatkan lelaki tua berjubah ungu itu timbullah keinginan di hati Pak Pandir untuk bertanya sesuatu kepadanya.
"Wahai orang tua berjubah ungu, bolehkah hamba bertanya sesuatu?" soal Pak Pandir kepada lelaki tua tersebut.
"Boleh, silakan," jawab lelaki tua itu.
"Bolehkah hamba memetik buah kelapa dari pokok-pokok kelapa yang ada di sini," pinta Pak Pandir penuh harapan.
Lelaki tua berjubah putih putih itu memandang Pak Pandir. Tidak lama kemudian dia pun berkata," Boleh, tapi dengan satu syarat."
"Apakah syaratnya wahai tuan hamba?" soal Pak Pandir gembira. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk memetik buah kelapa emas itu.
"Tuan hamba hanya boleh memetik buah yang sudah tua sahaja," pesan lelaki tua itu.
"Kenapa pula begitu, tuan hamba?" tanya Pak Pandir hairan.
Orang tua itu memandang Pak Pandir sambil berkata,
"Yang tua adalah untuk kita manakala yang muda adalah untuk anak-anak dan cucu-cucu kita nanti."
Setelah berkata demikian lelaki tua itupun berlalu pergi. Tinggallah Pak Pandir seorang diri tanpa sesiapa pun lagi yang ada di situ. Tanpa menunggu lagi Pak Pandir pun memetik buah emas daripada pokok-pokok kelapa yang telah tua itu.
Kerana terlalu tamak, Pak Pandir bukan sahaja memetik daripada pokok yang tua sahaja bahkan pokok yang muda juga. Kesemuanya habis dipetik oleh Pak Pandir. Pak Pandir mengisi kesemua buah kelapa emas itu ke dalam perahu kecilnya. Setelah itu Pak Pandir pun segera belayar pulang.
Perahu Pak Pandir terlalu kecil sedangkan muatan di dalam perahu itu terlalu banyak. Muatan di dalam perahu itu terlalu berat. Di dalam perjalanan pulang itu Pak Pandir sentiasa bersorak kegembiraan. Dia bernyanyi riang sambil melompat ke sana-sini.
Akibat terlalu berat dan ditambah pula dengan kelakuan Pak Pandir yang terlompat ke sana-sini, akhirnya perahu kecil Pak Pandir pun karam. Perangai Pak Pandir yang terlalu tamak kerana memetik buah yang masih muda akhirnya mengakibatkan Pak Pandir kerugian kesemuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan